Islam sangat menitikberatkan persoalan ibadah. Ibadah dalam islam adalah bertitik tolak daripada aqidah yang sempurna iaitu keEsaan Allah S.W.T., yakni menetapi kehendak syariat yang dibawa oleh Rasulullah S.A.W. Ibadah yang dilakukan dengan tidak menetapi kehendak syariat adalah ibadah yang sia-sia.
Ibadah memberi kesan baik kepada diri individu dan masyarakat. Contohnya, ibadah dapat mencorakkan hidup seseorang muslim dengan acuan Allah. Muslim akan merasa sentiasa terikat kepada hukum-hukum Allah dalam sebarang gerak-gerinya, dia melakukan sesuatu dengan ikhlas dan sikap ini mendorong ia memperbanyakkan amal soleh yang seterusnya menguntungkan masayarakat.
Ibadah boleh menyuburkan keimanan seseorang muslim, iman yang tidak disirami dengan ibadah akan menjadi kerdil dan beransur-ansur hilang.
Ibadah membentuk akhlak dan melembutkan budi pekerti kerana orang yang beribadat itu sentiasa melatih diri untuk untuk taat kepada perintah Allah serta mencari keredhaan-Nya dalam semua bidang kehidupan.
Amalan yang ikhlas, adalah dinilai sebagai ibadah, sama asa berupa ibadah khusus yang menghubungkan secara langsung antara hamba dengan Pencipta, seperti solat, zakat dan puasa atau ibadah umum yang menghubungkan antara hamba seperti berniaga, bertani dan berkahwin.
Sebenarnya Allah S.W.T. menciptakan manusia hanyalah bertujuan supaya mereka itu beribadah kepada-Nya semata sebagaimana Firman Allah yang bermaksud :
" Dan tidak Aku ciptakan Jin dan manusia melainkan supaya mereka tunduk mengabdikan diri kepada-Ku."(Al-Zariat:56)
Persoalan akhlak juga amat dititikberatkan oleh Islam ke atas penganut-penganutnya. Malah ianya menjadi tujuan utama utusan Allah, sebagaimana sabda Nabi, mafhumnya :
"Sesungguhnya aku diutuskan ialah untuk menyempurnakan akhlak mulia".
Akhlak adalah umpama buah bagi pokok yang hidup subur, tanpa pokok tiadalah buah, begitu juga dengan ibadah. Tanpa ibadah tiadalah akhlak. Buah yang baik tentunya memerlukan pokok yang hidup subur, begitu juga dengan akhlak yang luhur tentunya memerlukan ibadah yang berkualiti dan dikerjakan secara berterusan. Jika ibadah seseorang itu teguh, teguhlah akhlaknya dan begitulah pula sebaliknya.
Akhlak dalam Islam adalah bertitik tolak daripada pengabdian seseorang kepada Allah s.W.T. dengan mengikut sunnah Rasulullah S.A.W. Baginda adalah peribadi contoh terbaik. Semua perangai yang bertentangan dengan akhlak Rasulullah S.A.W. adalah dikira tidak berakhlak. Firman Allah S.W.T. bermaksud :
"Sesungguhnya engkau (wahai Muhammad ) mempunyai akhlak yang paling mulia."
(Al-Rum:4)
sayyidatina Aisyah r.a apabila ditanya tentang akhlak Rasulullah S.A.W. baginda berkata :
"Adalah akhlak baginda S.A.W. itu ialah Al-Quran".
Oleh itu pengukur untuk menilai akhlak seseorang sama ada baik atau buruk, perlu dilihat kepada penghayatan seseorang terhadap kandungan Al-Quran secara keseluruhannya.
Persoalan akhlak dalam Islam merangkumi akhlak terhadap Al-Khaliq (pencipta) dan akhlak terhadap makhluk. Akhlak terhadap Khaliq adalah seperti cinta, taat atau patuh yang tidak berbelah bahagi, ikhlas, sabar, redha, syukur, takwa, wara', zuhud, dan sebagainya.
Manakala akhlak terhadap makhluk pula merangkumi akhlak sesama manusia dan bukan manusia. Akhlak sesame manusia termasuk kepada diri sendiri, keluarga, jiran tetangga dan masyarakat. Antara nilai-nilai akhlak yang mesti ada ialah adil, jujur, perasaan ukhuwah, musyawwarah, tolong-menolong, kenal-mengenal, faham-memahami dan sebagainya.
Sementara akhlak terhadap bukan manusia seperti menjauhi perbuatan hasad dengki ( yang merosakkan ), sentiasa berprasangka baik, ramah tamah dan adil dalam segala perlakuan dan perkataan seharian.
Akhlak yang baik digambarkan oleh Rasulullah S.A.W. sebagai suatu yang paling berat dalam timbangan seseorang mukmin di hari kiamat kelak.
"Tidak sesuatu yang lebih berat dalam timbangan seseorang mukmin di hari kiamat selain daripada akhlak yang baik dan Allah benci pada orang yang keji mulut atau kelakuannya".(Riwayat Tirmizi)
Menurut Al-Quran, akhlak mencerminkan kebersihan hati. Akhlak yang baik menunjukkan hati yang luhur lagi bersih. Manakala akhlak yang buruk menunjukkan jiwa yang kotor. Firman Allah dalam surah Al-Syamsu, ayat 9-10, bermaksud :
"Sesungguhnya berjayalah orang-orang yang membersihkan jiwanya dan sangat malang orang-orang yang mengotori jiwanya".
Baginda Rasulullah S.A.W., pernah ditanya oleh seorang lelaki tentang apakah semalang-malang untung nasib? Jawab Baginda :
"Akhlak yang buruk".
Baginda juga pernah ditanya oleh seorang lelaki, siapakah mukmin yang lebih baik keimanannya?
Baginda menjawab :
"Yang paling baik adalah akhlaknya".
Ibadah akan membentuk akhlak individu, manakala akhlak adalah asas pembentukan peribadi muslim. Jika akhlaknya baik, maka personalitinya menarik dan begitulah sebaliknya.
Sebagai contoh, ibadah sembahyang dapat membentuk peribadi muslim yang syumul. Apabila masuk waktu solat, azan akan berkumandang dan menandakan telah tiba kewajipan umat Islam mengabdikan diri dengan waktu, waktu mesti dihargai dan ditepati.
Sebelum mengerjakan solat pula, umat Islam dibimbing supaya sentiasa menjaga kesihatan dan kebersihan diri. Sebab itulah disyaratkan kepada kita berwuduk (mengambil air sembahyang) dengan membersihkan muka, tangan dan tapak kaki daripada segala najis dan kekotoran.
Ibadah sembahyang dapat memelihara diri manusia daripada melakukan kemungkaran. Diri akan terkawal daripada kemaksiatan sebagaimana jaminan Allah dalam firman-Nya dalam surah Al-Ankabut, ayat 45 bermaksud :
"sesungguhnya manusia itu di jadikan bertabiat resah gelisah, apabila ia beroleh kesenangan, ia sangat bakhil kedekut, kecuali orang-orang yang mengerjakan sembahyang iaitu mereka yang tetap mengerjakan sembahyang".
Ibadah puasa juga mempunyai hikmatnya yang tersendiri. Selain menandakan kesyukuran di atas nikmat Allah, puasa melatih kita supaya bersih daripada sifat-sifat yang mazmummah seperti hasad dengki, tamak haloba, sombong dak takkabur. Dengan berpuasa, manusia bukan sahaja menahan diri daripada lapar dan dahaga tetapi dapat melatih diri melakukan sifat-sifat terpuji seperti tolong-menolong, bersedekah, merendah diri di samping mengerjakan ibadah-ibadah sunat seperti solat tarawih, tahajjud dan bertadarus Al-Quran.
Zakat pula selain membersihkan diri daripada sifat bakhil dan kedekut, ia juga dapat membentuk individu yang bersifat pemurah, rajin berusaha dan suka menolong orang yang susah.
Firman Allah dalam surah At-Taubat, ayat 103, bermaksud :
"Pungutlah zakat daripada harta mereka supaya dengannya engkau membersihkan mereka (dari dosa) dan doakanlah untuk mereka kerana sesungguhnya doa itu menjadi ketenteraman bagi mereka".
Ibadah haji dapat mendisiplinkan diri seseorang mukmin daripada perkara-perkara yang fasik. Sebaliknya mereka didorong melakukan perkara-perkara kebaikan dan kebajikan. Firman Allah dalam surah Al-Baqarah, ayat 197 bermaksud :
"(Musim) haji adalah beberapa bulan yang dimaklumi, barangsiapa yang menetapkan niatnya dalam bulan itu akan mengerjakan haji, maka ia tidak boleh bercakap kotor (atau bersetubuh) berbuat fasik dan bantah-bantahan dalam masa mengerjakan haji. Dan apa yang kamu kerjakan berupa kebaikan, nescaya Allah mengetahuinya. Bekalkanlah dan sesungguhnya sebaik-baik bekalan adalah taqwa dan bertaqwalah kepada-Ku hai orang-orang yang berakal".
Nas-nas di atas menunjukkan Islam telah menjelaskan betapa ia menerapkan nilai-nilai akhlak kepada manusia melalui rukun-rukun dan Islam adalah yang unik dan terbaik untuk dijadikan pegangan hidup manusia.
Sebaliknya, apabila manusia cuai atau sengaja tidak mahu beribadah kepada Allah S.W.T., sudah tentu ibadah yang disyariatkan itu tidak dapat menyempurnakan akhlak manusia. Akhirnya manusia sanggup melakukan apa sahaja hingga melampaui batas-batas kemanusiaan.
Sebagai contoh, satu bukti yang telah nyata menunjukkan kemurkaan Allah terhadap manusia yang bersifat kebinatangan ini ialah apabila Allah menurunkan penyakit AIDS atau Sindrom Kurang Daya Tahan Penyakit. AIDS tiba-tiba sahaja menjadi kebimbangan manusia dari berbagai peringkat kerana andaian yang mengerikan dan menjijikkan. AIDS kini mengancam kehidupan manusia daripada peringkat tua, belia, remaja hingga kepada bayi yang sedang berada dalam kandungan.
Nyatalah bahawa ibadah dapat membentuk peribadi dan akhlak seseorang muslim, sebab itu ibadah menjadi objektif kejadian manusia. Apabila manusia mengabdikan diri dan berbakti kepada Allah, segala tingkah lakunya akan dikawal oleh iman, hasilnya ia dapat mengerjakan amal soleh dan bertakwa kepada Allah. Sebaliknya tanpa akhlak, manusia akan hidup terumbang-ambing tanpa haluan dan pedoman.
No comments:
Post a Comment